IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta masyarakat tidak memberi tekanan yang tidak adil kepada atlet para negara kerana dikhuatiri boleh mengganggu kehidupan mereka.
Katanya, dalam apa juga situasi, sokongan dan keyakinan lebih diperlukan oleh kumpulan atlet itu bagi memastikan emosi mereka tidak terus tertekan atau terganggu.
“Lebih elok kita bercakap perkara yang ke depan dan bukannya yang mengecam atau sebagainya. Kita kena belajar daripada apa yang kita alami.
“Seperti apa yang berlaku kepada Ziyad (atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli), saya setuju dengan pandangan untuk kita berhenti bercakap atau mengecam.
“Sebagai rakyat Malaysia kita kena beri mereka keyakinan,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi perjumpaan bersama sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dan petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini semalam.
Pada 31 Ogos lalu, Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) selepas membuat lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.
Dia diklasifikasikan sebagai DNS (did not start) ekoran protes yang dibuat oleh pasukan Ukraine terhadapnya dengan mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.