PETALING JAYA : Penang FC (PFC) terlepas tiket ke Piala AFC musim depan selepas sekadar seri 2-2 dengan Terengganu FC (TFC) dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga liga namun peluang masih ada untuk mereka beraksi di pentas Asia jika muncul sebagai juara Piala Malaysia.
Bermain di laman sendiri, skuad Harimau Kumbang terlebih dahulu dikejutkan dengan layangan kad merah ke atas pertahanan tengahnya Abdul Latiff Suhaimi pada minit ke-12 susulan tindakannya melakukan kekasaran ke atas David da Silva dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, penjaga gol Samuel Somerville muncul penyelamat buat tuan rumah apabila menafikan sepakan penalti yang dilakukan penyerang dari Brazil itu.
Usaha skuad Penyu mencari gol pembukaan akhirnya terhasil menerusi tandukan kapten pasukan Argzim Redzovic pada minit ke-25 berpunca daripada sepakan penjuru yang dilakukan Lee Tuck.
Lima minit sebelum berakhir babak pertama, penyerang Penang Sheriddin Boboev berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras dalam kotak penalti.
Gol itu menyuntik semangat tuan rumah apabila menggandakan jaringan menerusi tandukan penyerang sensasinya Casagrande untuk membawa Penang masuk ke bilik rehat dengan senyuman walaupun bermain dengan 10 orang pemain.
Bersambung babak kedua, Terengganu berusaha keras untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-80 hasil ledakan Lee Tuck.
Skuad kendian Nafuzi Zain yang memerlukan kemenangan untuk meraih tempat ketiga terus melakukan asakan bertali arus namun gagal memecah benteng pertahanan tuan rumah.
Minit terakhir perlawanan bagaimanapun dicemari dengan sedikit pergaduhan namun berjaya dileraikan pengadil perlawanan.