Harga siling kit ujian kendiri Covid-19 muktamad - Utusan Malaysia

Harga siling kit ujian kendiri Covid-19 muktamad

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan penetapan harga siling bagi penjualan kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri di pasaran adalah muktamad.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan tidak bercadang menunda tarikh penguatkuasaan itu yang ditetapkan bermula Ahad ini dan tidak tunduk kepada mana-mana desakan pihak tertentu.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu menyeimbangkan kepentingan antara pembekal, penjual dan rakyat ketika musim pandemik.

Katanya, sebarang penangguhan tarikh kuat kuasa penetapan harga siling kit saringan kendiri tidak dibuat semata-mata bagi memberi laluan kepada penjual dan pembekal menghabiskan stok lama kerana ia memberi implikasi kepada rakyat.

“Kita kena seimbangkan antara pembekal, penjual dan rakyat sekarang ini. Kalau kita nak bagi tempoh selama sebulan untuk habiskan stok lama, maka sudah tentu rakyat yang bakal terkesan. Rakyat terpaksa bayar sampai RM40 untuk beli kit saringan dalam tempoh selama sebulan, semata-mata nak tunggu penjual habiskan stok lama.

“Kita perlu buat keputusan dan ia sudah dimuktamadkan. Saya faham apa-apa keputusan yang kita buat akan ada pihak tidak berpuas hati, dalam kes ini ialah pembekal dan penjual kit saringan.

“Tetapi saya dan Datuk Alex (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi), kita memihak kepada pengguna yang minta supaya kit saringan dapat diturunkan harga dan harga siling ditetapkan secepat mungkin. Keputusan sudah dibuat, move on (terimalah),” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan ditetapkan RM19.90 seunit berkuat kuasa Ahad ini.

Kedua-dua kementerian turut menetapkan harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada harga RM16 satu set dan penentuan harga maksimum kit ujian ini dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Penetapan harga maksimum ini dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini.

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan rungutan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) yang memohon penetapan harga runcit maksimum bagi set kit ujian kendiri itu dilanjutkan ke suatu tempoh bagi membolehkan stok sedia ada dapat dijual pada harga semasa sehingga habis.

KPDNHEP juga disyor supaya membenarkan stok sedia ada dipulangkan atau meminta pembekal memberi subsidi bagi kos keseluruhan unit itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya