PUTRAJAYA: Harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan ditetapkan RM19.90 seunit berkuat kuasa Ahad ini.
Perkara itu diputuskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan akhbar bersama hari ini.
Kedua-dua kementerian turut menetapkan harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada harga RM16 satu set.
“Penentuan harga maksimum kit ujian ini dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Penetapan harga maksimum ini dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kerajaan sedar bahawa situasi Covid-19 di negara ini belum pulih dan permintaan terhadap kit ujian dijangka meningkat pada masa depan susulan kesedaran orang ramai mahu membuat ujian sendiri.
Justeru, katanya, penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas itu dibuat bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.
Jelasnya lagi, penentuan harga maksimun juga dibuat selepas melakukan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara, maklum balas daripada agensi kerajaan dan hasil perbincangan dengan rantaian bekalan serta syarikat farmasi.
Pada masa sama, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan penetapan harga berkenaan.
Menurutnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda.
“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE