Haram promosi sihir minyak pengasih, pemisah di media sosial - Utusan Malaysia

Haram promosi sihir minyak pengasih, pemisah di media sosial

TANGKAP layar pencerahan hukum pengiklanan sihir melalui media sosial oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini dilarang keras daripada cuba menawarkan iklan perkhidmatan sihir melalui platform media sosial malahan dianggap haram dan berdosa.

Demikian fatwa terbaharu diterbitkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan semalam menerusi Irsyad Al-Fatwa siri ke-619 berhubung hukum melakukan tawaran iklan sihir di laman sosial.

“Orang yang melakukan perbuatan ini wajib bertaubat dan tidak mengulanginya pada masa depan kerana sihir adalah antara dosa besar sebagaimana disabdakan Rasulullah SAW,” katanya sebagai merujuk persoalan diajukan pembaca mengenai tawaran minyak pengasih, sihir pemisah dan lain-lain yang disiarkan melalui akaun Facebook dan Instagram.

Amalan berbaur syirik itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peniaga untuk memusnahkan saingan, selain menceraikan suami isteri dan memikat seseorang yang diminati.

Pejabat itu turut menghuraikan hadis Nabi Muhammad SAW diterbitkan Sahih al-Bukhari apabila baginda ditanya para sahabat mengenai sihir antara tujuh dosa besar yang perlu dijauhi.

“Para ulama dan fuqaha yang masyhur turut menetapkan haram belajar dan mengajarkan sihir kerana ia antara dosa besar selain mendapatkan khidmat daripada tukang sihir,” katanya.

Ini berdasarkan hadis dalam Sahih Muslim yang ada meriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda ibadah solat boleh ditolak Allah selama 40 hari disebabkan perbuatan keji tersebut, malah, Imam al-Nawawi pernah menyatakan bahawa individu terbabit juga tidak mendapat pahala dalam tempoh itu meskipun solat tersebut sah mengikut rukun dan syarat-syaratnya.

Ijmak ulama muktabar turut melaporkan haram pengamalan sihir bahkan orang yang tetap meyakini keharusannya juga adalah kufur serta berdosa jika mengajar, belajar atau beramal yang turut diulas cendekiawan Islam kontemporari antaranya Sheikh Zakariya Muhammad al-Ansari dan Sheikh al-Syarwani dalam kitab fiqh mereka. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya