PETALING JAYA: Penyanyi bersuara emas, Aishah lega kerana masih mampu menyanyikan lagu bernada tinggi meskipun dalam pemulihan selepas mengalami masalah kerosakan paru-paru akibat jangkitan virus Covid-19.
Kata Aishah, sebelum ini dia sedikit ragu-ragu dengan tahap kebolehan nyanyiannya yang dianggapnya menurun setelah bertarung nyawa dengan wabak tersebut.
Namun, dia gembira kerana masih mampu menyanyikan lagu-lagu bernota tinggi setelah beberapa kali percubaan.
“Setelah sekian lama, saya seronok kerana menyanyi semula. Saya cuba nyanyikan lagu sendiri, tahap keyakinan masih rendah tetapi saya seronok mendengar diri sendiri menyanyikan lagu sendiri.
“Camar Yang Pulang dan ya, saya masih dapat menyanyikan nota-nota yang tinggi itu! Tapi biasalah nyanyi nota tinggi seperti seseorang yang sebulan dah tak menyanyi sedangkan sebelum Covid-19, saya rajin jugalah buat latihan vokal @cikgushafi bermula dari Anugerah Juara Lagu lepas.
“Tetapi sekurang-kurangnya saya tahu saya hanya perlu lakukan latihan vokal untuk menggerakkan memori otot vokal,” tulisnya dalam laman sosial.
Kata pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin ini, sebelum ini dia cemas sekiranya dia tidak mampu menyanyi dengan baik lagi apabila paru-parunya terjejas ekoran wabak berkenaan.
Katanya, dia tertanya-tanya sama ada kerosakan dialami bersifat kekal atau sementara memandangkan organ tersebut dan peti suara adalah penting kepada individu yang mencari rezeki dengan menyanyi.
“Masa saya nyanyi Bahtera Merdeka di hospital itu saya cuak kerana saya nyanyi dengan ‘key’ yang lebih rendah.
“Jarang sangat saya nyanyi salah ‘key’ bagi lagu yang saya dah nyanyikan berpuluh tahun.
“Membuatkan saya tertanya tanya sama ada Covid-19 sudah rosakkan instrumen saya hingga secara semulajadi, suara saya turun key,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Aishah seperti memberi gambaran bahawa dia akan kembali menghiburkan diiringi Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) sekitar tahun depan.
“MPO, jumpa anda tahun depan, Insya-Allah,” tulisnya. – UTUSAN ONLINE