SUNGAI PETANI: Hasrat murni seorang pemuda menabur bakti sebagai sukarelawan kerja-kerja pengebumian jenazah pesakit Covid-19 tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu dijemput Ilahi.
Allahyarham Muhammad Shahrizal Mohd. Faisol, 29, dari Taman Keladi, meninggal dunia Sabtu lalu akibat Covid-19 selepas seminggu menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Ibunya, Rufishah Zakarya, 57, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu menyuarakan hasratnya menjadi sukarelawan dengan menyertai Team Hang Cangkul yang mengurus jenazah Covid-19 di sini kerana sikapnya yang suka membantu orang.
“Keinginannya itu disuarakan melalui aplikasi kumpulan WhatsApp keluarga kami pada pagi Ahad 29 Ogos lalu sebelum disahkan positif Covid-19 pada hari sama.
“Arwah yang dikuarantin di rumah mengadu sesak nafas tiga hari kemudian menerima rawatan di HSAH tetapi meninggal dunia pukul 9 malam, Sabtu lalu tanpa sempat memenuhi keinginannya untuk bergelar sukarelawan dengan team berkenaan,” katanya.
Muhammad Shahrizal mempunyai seorang abang, Muhammad Firdaus, 33, dan seorang adik, Muhammad Safinas, 27.
Menurut Rufishah, sikap Muhammad Shahrizal gemar menolong orang diwarisi daripada arwah suaminya, Mohd. Faisol Ishak yang meninggal dunia 11 tahun lalu dan sering melakukan kerja kebajikan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
“Sebelum ini juga dia terlibat dengan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dengan Group Khalifah di tempat kerjanya, di sebuah syarikat insurans di sini.
“Dia juga selalu membantu gelandangan, menjadi sukarelawan kepada mangsa banjir dan terbaharu ingin menjadi sebahagian daripada kumpulan mengurus jenazah Covid-19 di daerah ini,” katanya.
Rufishah menambah, dia sedih kerana hasrat anaknya itu tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu meninggal dunia.
Jenazah Muhammad Shahrizal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Mawardah oleh Team Hang Cangkul sendiri petang Sabtu lalu. – UTUSAN