RAUB: Peminat gasing pangkah di sini gembira dapat melepaskan ‘gian’ bermain permainan tradisional itu setelah kerajaan melonggarkan peraturan bagi membolehkan kegiatan sukan dan rekreasi kembali ‘bernafas’ semula dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penggiat permainan itu, Nur Amin Nor Azahar, 31, berkata, aktiviti gasing pangkah membabitkan belia di situ terhenti sejak tahun lalu berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Belia Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong di sini berkata, ekoran PKP, belia di kampung itu yang sebelum ini aktif dengan permainan tradisional mengambil keputusan menyimpan gasing pangkah sebagai hiasan dalam almari dan hanya mampu melihat, tetapi tidak boleh bermain di gelanggang atau secara terbuka.
“Sejak kelonggaran PKP, saya dan rakan berasa ‘gian’ pula dan hanya bermain pada waktu malam, tetapi melibatkan dua atau tiga orang sahaja dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan keselamatan.
“Saya juga bermain seorang diri tiga kali seminggu pada waktu malam turun ke gelanggang gasing untuk melepaskan ‘gian’. Maklumlah sudah hampir dua tahun terpisah dengan kegiatan seni ini,” katanya di Kampung Pamah Rawas di sini semalam.
Nur Amin berkata, walaupun agak lama meninggalkan permainan itu, dia tidak berasa kekok untuk memutarkan gasing pangkah malah semakin teruja pula melihat putarannya di gelanggang.
“Dalam tempoh ini, saya kerap bermain seorang diri gasing pangkah dan kadangkala ada dua atau tiga rakan lain yang juga ‘gian’ datang bermain dengan mematuhi SOP dan amalan norma baharu,” katanya.
Katanya, menyingkap sejarah, permainan gasing pangkah begitu popular di negeri ini semasa pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1863 hingga 1914) sehingga beralih kepada puteranya, Sultan Mahmud Shah II (1914 hingga 1917).
“Ketika zaman pemerintahan dua sultan berkenaan, permainan gasing pangkah masyhur malah pelbagai jenis gasing telah dibentuk sehinggalah peralatan tradisional ini mempunyai entiti tersendiri, iaitu dikenali sebagai Gasing Pangkah Pahang.
“Pada era kedua pemerintah tersebut, gasing pangkah dimainkan pada sebelah petang dan berhenti pada waktu solat Maghrib dan Isyak, kemudian disambung semula sehingga ke tengah malam.
“Tetapi, selepas itu permainan gasing lazimnya di halaman rumah tanpa mengira masa dan tempat, malah perubahan berlaku apabila sesetengah kampung dibina gelanggang untuk kemudahan bermain pada hujung minggu atau ketika pertandingan,” katanya.
Menurut Nur Amin, permainan tradisional itu popular di Kampung Cherating, Tanjung Lumpur, Penor dan Beserah di daerah Kuantan dan di Pekan pula, gasing pangkah juga terkenal di Kampung Tanjung Medang, Pulau Jawa, Pulau Rumput dan Kuala Pahang.
Tambahnya, gasing pangkah turut dimainkan penduduk Kampung Labu dan Kampung Cheringging (Bentong), Kampung Sarang Tiong dan Endau (Rompin), Kampung Tanjung Lipis dan Kampung Kuala Lahar (Lipis), Ulu Dong (Raub), Kampung Sekara dan Kampung Bukit Kelulut (Temerloh).
Bercerita selanjutnya, Nur Amin berkata, sebelum 2020, aktiviti gasing pangkah bukan sahaja mendominasi bagi mengisi masa lapang di kampung, tetapi kerap diadakan pertandingan seluruh Pahang melibatkan orang muda yang mewakili persatuan belia masing-masing termasuk Kampung Pamah Rawas.
“Tetapi setelah penularan Covid-19 semua aktiviti permainan gasing pangkah di kampung dan pertandingan luar terhenti secara mengejut menyaksikan cabang kesenian ini termasuk aktiviti rekreasi semakin dilupakan berikutan peraturan keselamatan dalam tempoh PKP ini.
“Saya amat teruja untuk bermain secara aktif dan menyertai pertandingan gasing pangkah di luar semula sambil berharap penduduk negeri ini mencapai imuniti kelompok bagi membolehkan negara pulih daripada ancaman Covid-19 sekali gus kegiatan seni tradisional subur semula,” ujarnya. – UTUSAN