MELAKA: Melaka Sentral yang kini suram kerana pandemik Covid-19 bakal berubah wajah apabila diberikan nafas baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.5 bilion berkonsepkan bunga kesidang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, cadangan pembangunan di atas tanah seluas 18 ekar milik Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) itu melibatkan lima sektor pembangunan secara berperingkat dalam tempoh tujuh tahun.
Menurut beliau, projek tersebut dijangka bermula Jun tahun depan, dibangunkan syarikat Goodyield Developement Sdn. Bhd. (GDSB).
“Pembinaan sektor satu melibatkan terminal balai ketibaan bas ekspres dan balai berlepas bas domestik, sebuah blok kondominium, Hotel Tower, 18 buah dewan pawagam dan ruang komersial. Sektor satu dijangka siap pada Januari 2024.
“Transformasi pembangunan semula Melaka Sentral menjadi pemangkin baharu kepada MSSB dan kerajaan negeri bagi menambah baik kesejahteraan dan sosio ekonomi rakyat. di samping menambah produk pelancongan dan peluang pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian usahasama antara MSSB dengan GDSB di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Datuk Hasnoor Sidang Husin dan Ahli Lembaga Pengarah GDSB, Datuk Muhammad Hafidz Nuruddin.
Tambah Sulaiman, GDSB menawarkan MSSB penyelesaian baki pinjaman bank, pembahagian untung tetap untuk setiap sektor pembinaan, perkongsian keuntungan hasil operasi sewaan pusat beli-belah serta operasi pengurusan tempat letak kereta.
Katanya, setelah siap kelak, keluasan terminal kasar berjumlah 743,775 kaki persegi dengan nilai GDV terminal sebanyak RM372 juta akan diserahkan kepada MSSB.
“Terminal ini akan memiliki 340 unit ruang niaga. MSSB yang juga anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dijangka menerima manfaat kewangan secara keseluruhan berjumlah RM466 juta.
“Jumlah ini tidak termasuk pendapatan tahunan daripada perkongsian hasil sewaan dan pengurusan petak letak kereta yang dianggarkan berjumlah sehingga RM2 juta,” ujarnya. – UTUSAN