PUTRAJAYA: Seorang pengarah syarikat warga tempatan dipenjara tiga tahun kerana gagal mematuhi award (pampasan) Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar kepada tiga pihak yang menuntut wang berjumlah RM22,106.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, lelaki berkenaan dikenakan hukuman atas pertuduhan di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 – Ketidakpatuhan Award TTPM pada 24 September lalu.
Menurutnya, pendakwaan dilakukan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP, melibatkan tiga kes saman bagi kesalahan di bawah Subseksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 ke atas Orang Kena Saman (OKS) iaitu seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pengarah syarikat Want To Go Holiday Sdn. Bhd..
“Mengikut fakta kes, tertuduh gagal mematuhi award TTPM untuk membayar kepada tiga pihak yang menuntut wang berjumlah masing-masing RM4,999, RM6,228 dan RM10,879.
“Tertuduh didakwa di bawah Subseksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” jelasnya menerusi kenyataan hari ini.
Azman berkata, bagi kesalahan yang berterusan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Tambahnya, setelah selesai perbicaraan, OKS gagal membuktikan keraguan yang munasabah di peringkat pembelaan.
“Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman denda RM8,000, jika gagal bayar denda dipenjara satu tahun bagi setiap pertuduhan. OKS telah gagal membayar denda untuk ketiga-tiga pertuduhan dan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama tiga tahun,” jelasnya.
Menurutnya lagi, KPDNHEP memandang serius isu ketidakpatuhan Award TTPM oleh orang ramai dan berharap hukuman ini menjadi peringatan kepada semua pihak untuk menghormati hak-hak pengguna dalam melaksanakan perniagaan. – UTUSAN