BUTTERWORTH: Taman Rekreasi Pantai Robina atau Robina Eco Park di sini akan ditutup selama lima hari bermula esok.
Perkara itu disahkan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah dinasihatkan untuk menutup operasi di taman rekreasi itu susulan satu pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh sepasukan anggota polis dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di situ, semalam.
“Arahan ini bertujuan sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengunjung.
“MBSP juga menyeru semua pengunjung dan orang awam yang mengunjungi taman rekreasi ini atau mana-mana taman rekreasi di seluruh Seberang Perai terutamanya di bawah seliaan MBSP sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor memberitahu, hasil pemantauan pihaknya petang semalam, terdapat antara 1,000 hingga 2,000 pengunjung berada di lokasi berkenaan.
Katanya, hasil pemantauan itu juga mendapati, ada dalam kalangan pengunjung yang gagal mematuhi SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk tidak memakai pelitup muka serta tiada penjarakan fizikal.
Malah katanya, ada pengunjung yang masih belum lengkap divaksin sedang beriadah di situ ketika diperiksa oleh anggotanya.
“Sehubungan itu, satu perjumpaan khas bersama Datuk Bandar (MBSP), Pegawai Daerah SPU dan Pegawai Kesihatan daerah telah diadakan tengah hari ini dan mereka bersetuju menutup sementara pusat rekreasi berkenaan bagi mengekang penularan wabak covid-19 selain bagi mengelakkan tanggapan negatif masyarakat setempat.
“Pada masa sama, kami juga berpendapat penutupan pusat rekreasi itu wajar dilakukan memandangkan ia sememangnya berada dalam kawasan zon merah ketika ini,” katanya. – UTUSAN