Fasa 3 PPN: Biar rakyat Melaka nikmatinya dahulu

Fasa 3 PPN: Biar rakyat Melaka nikmatinya dahulu

MUHAMMAD Jailani Khamis bercakap kepada pemberita di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka masih belum bersedia menerima kehadiran pelancong luar, meskipun beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, peralihan fasa akan dinikmati oleh rakyat tempatan terlebih dahulu, selepas kerajaan negeri bersetuju membenarkan aktiviti sektor pelancongan dibuka semula.

Menurut beliau, keputusan tersebut adalah sebagai proses mengadaptasi kehadiran pelancong luar.

“Rakyat negeri ini perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) pelancongan dan kebudayaan yang berkuat kuasa. Aktiviti yang dibenarkan sama seperti dalam senarai positif kecuali aktiviti tertentu yang tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri atau Persekutuan seperti kelab malam.

“Setiap aktiviti yang dibenarkan beroperasi perlu mematuhi had kapasiti pengunjung sebanyak 50 peratus daripada keluasan premis, selain menjaga penjarakan sosial, melakukan sanitasi dan memakai pelitup muka,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dengan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Antara produk pelancongan awam yang dibuka adalah zoo, akuarium, bersnorkel, selam skuba, memancing, pusat edutainment, sukan rekreasi ekstrem, taman tema, pusat hiburan keluarga, galeri seni dan pentas persembahan budaya.

Tambah Muhammad Jailani, pihaknya telah memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan SOP khusus untuk sektor pelancongan di Melaka sahaja.

Katanya, ini kerana senario pelancongan di negeri ini berbeza dengan Genting Highlands; Pulau Tioman, Pahang dan Langkawi, Kedah.

“Melaka memiliki 30 ekar kawasan teras utama dan 300 ekar kawasan lagi yang menempatkan pelbagai warisan negeri. Sebenarnya negeri ini agak padat dan memiliki jaringan jalan yang sempit.

“Apabila Melaka mula membuka pintu pelancongan, kemasukan pelancong ibarat itik masuk ke kolam. Justeru, Melaka perlu mengadaptasi pelancongan mengikut fasa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya