PETALING JAYA: Demi impian yang lama disimpan, penyanyi berbakat, Elmy Rahman sanggup menghabiskan wang simpanan bagi menghasilkan single bertajuk Hapus.
Empunya nama sebenar Elmy Iskandar Abdul Rahman ini kini mampu tersenyum apabila single yang mendapat sentuhan Tam Cobain serta ditulis Farazila AJ kini diterima baik dalam kalangan pendengar tempatan.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu yakin lagu berentak balada dapat memenuhi cita rasa pendengar memandangkan ia kini sudah dimainkan di radio arus perdana.
Pelancaran Hapus berserta video muziknya berlangsung sederhana sekitar Januari lalu secara dalam talian.
Dalam pada itu, meskipun negara dilanda pandemik yang tak berkesudahan, penyanyi kelahiran Tanjung Malim, Perak tersebut tetap optimis meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi.
Berpegang kepada peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, Elmy yakin dapat terus melangkah untuk menjadi penyanyi disegani meskipun hadir pelbagai kekangan ekoran virus Covid-19.
Baginya, sokongan tidak berbelah bahagi peminat menguatkan lagi api semangatnya untuk turus ‘hidup’ dalam bidang hiburan dan bukan persinggahan sementara semata.
Harapannya adalah untuk memiliki sebuah album penuh dan berjaya sebagai penyanyi yang memiliki studio sendiri satu hari nanti. – UTUSAN ONLINE