PORT DICKSON: Segala perancangan dan pembangunan yang mahu dilakukan menerusi reformasi Angkatan Masa Hadapan yang disasarkan untuk dicapai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 perlulah dilaksanakan secara menyeluruh.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan, kegagalan untuk memastikan perkara itu akan menjurus menjadikan ATM sebagai sebuah organisasi yang beliau sifatkan sebagai angkatan lompong.

“Dalam kesungguhan mencapai ke arah Angkatan Masa Hadapan, saya ingin mengingatkan bahawa perancangan, pembangunan dan perolehan pertahanan hendaklah dilaksana secara menyeluruh.
“Kegagalannya akan memerangkap ATM ke arah menjadi sebuah angkatan lompong. Lebih buruk, sekiranya ia tidak ditangani maka hasrat untuk menjadi Angkatan Masa Hadapan akan terhalang dan kemungkinan besar tidak tercapai,” katanya sewaktu berucap pada perutusan Panglima ATM sempena perbarisan Hari ATM Ke-88 di Kem Segenting, di sini hari ini.
Dalam pada itu, jelas Affendi, SKN 2.0 yang memberi tumpuan kepada reformasi Angkatan Masa Hadapan kini berada dalam peringkat akhir penambahbaikkan.
“Reformasi Angkatan Masa Hadapan ini hendaklah dilaksanakan secara terperinci dan holistik mengguna pendekatan reka bentuk (force design), yang dipacu oleh hala tuju jelas yang realistik dan pembangunan angkatan yang menggabungkan keseluruhan mekanisme sumber manusia, kelengkapan dan proses.
“Pelan tindakan pembangunan angkatan yang baharu ini yang dikenali dengan nama ACE30 merangkumi penjajaran, penentukuran serta proses perkembangan secara progresif dan garis masa pelaksanaannya bermula dari 2020 sehingga 2030.
“Oleh itu, setiap peringkat pimpinan ATM terutamanya di peringkat penggubal, perancang dan pelaksana haruslah memberikan komitmen terhadap hala tuju ACE30 ini agar pembangunan angkatan yang lancar dan sempurna dapat dihasilkan,” katanya lagi.
Sementara itu, mengenai hal ehwal kebajikan warga ATM, Affendi memaklumkan, satu kajian terhadap skim perkhidmatan anggota bagi melihat semula kadar pemberian pencen kepada anggota yang telah berkhidmat selama 12, 15 dan 18 tahun sedang dilaksanakan.
“Ini merupakan inisiatif baharu kerana skim pencen sebelum ini terpakai kepada mereka yang berkhidmat selama 21 tahun dan ke atas sahaja,” katanya sambil memberitahu ATM turut sedang mengusahakan inisiatif bagi memperkasakan para isteri dan keluarga warganya.
Terdahulu, seramai 2,500 orang pegawai dan anggota tentera daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam sambutan yang julung kalinya diadakan di Kem Segenting.
Sambutan kali ini juga berbeza berbanding tahun sebelumnya apabila turut dipertontonkan dengan latihan kesiagaan aset dan kompetensi ATM.
Diadakan mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton dalam kalangan masyarakat setempat, sambutan turut disusuli dengan perbarisan statik tempur.- UTUSAN ONLINE