SEREMBAN: Seorang eksekutif sumber manusia mengalami kerugian hampir RM112,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja kosong daripada aplikasi jual beli dalam talian pada 29 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 27 tahun pada mulanya berada di rumah dan melayari akaun Facebook dan terlihat iklan yang menawarkan kerja sambilan.
Mangsa yang menetap di Senawang telah menghubungi individu bernama Annie di talian 017-7768122 bagi bertanyakan maklumat dengan lebih lanjut.
“Mangsa diterangkan perlu membuat pembayaran bagi barangan dan kemudian akan diberikan keuntungan 10 peratus daripada harga barangan tersebut.
“Dalam urusan berkenaan, mangsa berhubung dengan pegawai perkhidmatan pelanggan bernama Michell menerusi nombor talian 014-7469858 dan 016-6698840 serta pengurus kredit yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr. Tan di nombor talian 017-8591521,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Aibee, mangsa kemudian ditawarkan kerja sebagai pembantu pemasaran dan melakukan kesemua transaksi ke atas empat akaun bank yang telah diberikan.
“Namun sehingga kini mangsa masih belum mendapat pulangan daripada hasil pekerjaan berkenaan. Mangsa menyedari dirinya tertipu selepas membuat 25 transaksi pindahan wang daripada akaun miliknya sendiri dan juga akaun bank bapanya,” katanya.
Menurutnya, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Senawang semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.