TAMPIN: Dua buah premis kedai Arked Majlis Daerah Tampin, Pasir Besar di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd. Farid Abu Bakar berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada 4.51 petang dan mendapati kebakaran tersebut membabitkan butik andaman serta kedai gunting rambut.
“Butik andaman dianggarkan musnah terbakar sekitar 40 peratus manakala kedai gunting rambut pula dianggarkan terbakar sekitar 15 peratus.
“Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan api berjaya dikawal pada pukul 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Farid berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau serta pasukan Bomba Sukarela Palong 6 turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadam kebakaran.
“Operasi tamat pada pukul 5.56 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN