SHAH ALAM: Dua remaja maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 8.5 Lebuhraya Persekutuan awal pagi tadi.
Mangsa, Nur Afiqah Abdul Karim, 18, yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback dan penumpang, Muhammad Hafiz Syami Dzul Asri, 19, mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.51 pagi dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
“Laporan awal kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus telah bertembung dengan sebuah Proton Wira Aeroback dipandu seorang wanita bersama seorang penumpang lelaki.
“Kejadian itu telah menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit pada bahagian hadapan dan mangsa mengalami kecederaan parah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Norazam, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis dan pemandu Mitsubishi Triton berusia 24 tahun itu dilaporkan selamat,” jelasnya.
Menurut Norazam, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ujian air kencing terhadap pemandu Mitsubishi Triton berusia 24 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis ganja.
Katanya, suspek terbabit dibawa ke mahkamah bagi permohonan tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Bin Suhiami di talian 01131215697,” ujarnya. – UTUSAN