Dua penghuni pusat rawatan psikiatri mati selang sehari - Utusan Malaysia

Dua penghuni pusat rawatan psikiatri mati selang sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua penghuni sebuah pusat rawatan dan pemulihan psikiatri swasta di Tikam Batu dekat sini, dilaporkan meninggal dunia selang sehari selepas mereka ditemukan tidak sedarkan diri di pusat tersebut pada Selasa dan semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menerima dua laporan mengenai kematian mengejut membabitkan penghuni lelaki berusia 25 dan 20 tahun daripada pengurusan pusat rawatan tersebut.

“Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh petugas pusat rawatan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, laporan pertama diterima pada pukul 10.32 malam, Selasa lalu membabitkan mangsa berusia 25 tahun dan berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

“Hasil temu bual dengan pengasas pusat rawatan tersebut mendapati kejadian berlaku pada pukul 8.20 malam ketika mangsa baru selesai makan malam dan sedang berbaring di ruang tamu.

“Dia kemudian mengejutkan mangsa untuk makan ubat tetapi tiada tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” ujarnya.

Menurut Adzli, laporan kedua pula diterima pada pukul 3.51 petang semalam membabitkan mangsa berusia 20 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 1.05 petang apabila mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital Sungai Petani,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas badan kedua-dua mangsa tidak menemukan sebarang luka atau lebam dan disyaki tiada sebarang unsur jenayah dengan kes setakat ini diklasifikan sebagai mati mengejut.

“Mayat kedua-dua mangsa akan dilakukan ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya