KUALA LUMPUR: Satu deraf Rang Undang-Undang dan Memorandum Jemaah Menteri mengenai transformasi Parlimen diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk dibentang dan diluluskan kerajaan.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, penyerahan itu dibuat setelah mempengerusikan mesyuarat khas Transformasi Parlimen bagi mewakili Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang dilangsungkan petang tadi.
“Paling penting, menteri menyokong penuh langkah meminda dan memperkasakan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar konsep pengasingan kuasa antara legislatif dan eksekutif benar-benar dapat dijelmakan sebagaimana termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.
“Langkah meminda, memperkasa dan mengembalikan semula kedua-dua akta ini akan menyaksikan Parlimen tidak tertakluk lagi di bawah kuasa eksekutif serta membolehkan beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang mempunyai kuasa perundangan diwujudkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pentadbir Parlimen, Nor Yahati Awang serta kedua-dua Setiausaha Dewan Negara dan Rakyat.
Pada masa sama, Rais berkata, pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 juga sedang diteliti bagi membolehkan Dewan tidak membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang sedang berdepan pendakwaan mahkamah daripada mengambil bahagian dalam persidangan kedua-dua Dewan sehinggalah kesnya selesai.
Selain itu, katanya, kedua-dua Dewan juga sedang meneliti untuk menggubal sebuah kod etika khas bagi ahli Parlimen.
“Segala transformasi yang sedang rancak diusahakan ini adalah selari dengan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021 lalu, yang antara lain adalah memberi fokus kepada transformasi Parlimen itu sendiri.
“Sehubungan itu, satu interaksi dan taklimat khas mengenai perincian transformasi Parlimen ini akan dibuat kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan para Senator dalam masa terdekat bagi memastikan usaha murni ini dapat dihayati dan dilunaskan dengan sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN