Dirgahayu karya legenda - Utusan Malaysia

Dirgahayu karya legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU Selamatkan Legasi boleh menyimpulkan kembara muzik Monoloque. Sejak awal penubuhannya, Monoloque meneroka pelbagai khazanah muzik Melayu dan berusaha menyesuaikannya dengan muzik semasa.
Pelbagai produk yang anda boleh rujuk. Dari album Hikayat Halimunan Abad Ke-21: Jejak Tanah, Jangan Puja Sampai Kecewa dan yang terbaharu, album berkembar Lagu Perang.

Artikel ini bukanlah untuk melambung Monoloque dengan puji, cuma usahanya ini perlu diberi perhatian. Selamatkan Legasi bukan sekadar sebuah lagu tetapi seruan. Liriknya mengajak pengkarya menggali semula khazanah muzik Nusantara; mekarkan semula yang telah layu.

Untuk memekarkan tradisi yang layu kita perlu bijak membaca zaman. Bukan semua elemen muzik lama boleh dibawa bulat-bulat ke zaman ini. Zaman ini dilemanya berbeza, kehendak generasi berubah.

Seni menyadur

Artikel ini juga bukanlah tentang Selamatkan Legasi. Saya sudah tulis lebih awal tentang lagu itu. Ia hanya pembuka kepada idea saya dalam ulasan rendisi baharu Monoloque terhadap lagu Legenda oleh Sheila Majid.

Legenda merupakan lagu dalam album dengan tajuk sama yang diterbitkan pada 1990. Album tersebut diterbitkan khas sebagai penghargaan kepada Tan Sri P. Ramlee. Selain Legenda dan trek pembuka D’Legenda, semua lagu dalam album tersebut ialah lagu P. Ramlee yang disadur oleh Sheila Majid.

Selepas 31 tahun, Monoloque pula tampil dengan saduran terhadap lagu itu. Kolaborasi kedua Monoloque bersama Kimal (Margasatwa) ini bukan sekadar memberi nafas baharu, malah wajah dan tubuh baharu untuk Legenda.

Seperti yang pernah saya tulis dalam ulasan tentang lagu Chendering oleh Bihzhu, rakaman semula lagu lama bertujuan untuk memalarkan kesegarannya. Rakaman semula yang terbaik adalah yang mampu membuka perspektif baharu pendengar terhadap lagu tersebut, seperti yang dilakukan Bihzhu melalui Chendering.

Tanggal habis

Seperti yang diakui Loque sendiri, semua elemen lagu ini ditanggalkan kecuali melodinya. Getar tenang dan melankolik versi Sheila Majid ditinggalkan. Hentam dram dimasukkan bersama kesan bunyi kasar keyboard. Di latarnya pula ada ketuk gamelan yang menambah mistik.

Memang jelas usaha untuk memasukkan elemen mistik dalam lagu ini, terutamanya dalam video muziknya, Agenda Legenda. Dalam Agenda Legenda, Kimal tampil sebagai jejaka misteri, seorang penunggu muzium gamelan. Seluruh ahli kugiran Monoloque bersama Kimal sendiri akhirnya disumpah Kelembai menjadi batu.

Mungkin Loque dalam kenyataan medianya berkata lagu ini ditujukan buat para pejuang barisan hadapan negara dalam perang melawan Covid-19 tetapi dengan elemen mistik ini saya melihat ia ditujukan kepada instrumen-instrumen tradisional muzik Nusantara dan para pemeliharanya. Merekalah legenda yang patah tak tumbuh lagi, hilang belum berganti.

Berjayakah saduran ini memalarkan kesegaran Legenda? Jawapan saya ya. Ia memberi perspektif baharu dan memasukkan elemen-elemen baharu yang lebih rapat dengan persekitaran zaman ini.

Persekitaran zaman

Itulah yang saya cuba sebutkan dalam penutup Borak Rondivu yang lalu. Kelebihan Loque apabila melakurkan muzik lama dengan baharu adalah pada kemampuannya menyatukan persekitaran lama dengan baharu.

Zaman dahulu, persekitaran kita lebih tenang dan lapang. Bangunan tak banyak, masa juga bergerak perlahan dengan pelbagai aktiviti santai sehingga orang putih datang ke tanah ini dan menuduh kita malas. Orang putih itu yang tidak faham, kita bukan penggila industri seperti mereka.

Zaman sekarang, setelah terperosok dalam kitaran industri sehingga empat revolusi, dunia lebih sempit dan sesak. Persekitaran semakin bising. Kalau dulu bunyi unggas dan pokok itu siulan alam, sekarang bunyi kereta dan jentera menjadi deraman alam.

Dalam lagu-lagu Monoloque yang melakurkan muzik lama dengan baharu, elemen tenang-lapang dan bising-sesak ini juga disatukan. Dalam kebisingan distortion dan kesesakan hentak dram, ada ketuk gamelan yang mengingatkan kita bahawa dunia ini perlu dinikmati perlahan dan tenang. Dalam kesempitan ada ruang untuk kita merenung hidup.

Saya mahu hidup seperti lagu Monoloque. Walau didesak keperluan mencari wang sehingga sibuk, saya mahu ada masa untuk kekal lapang dan merenung makna. Ini magis Monoloque yang saya hargai walaupun dia dikecam seribu manusia.

Legenda versi 2021 terus mengingatkan saya mengapa Monoloque akan sentiasa menjadi kugiran kegemaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya