Didakwa gugur janin dalam kandungan - Utusan Malaysia

Didakwa gugur janin dalam kandungan

DAYANG Nur Juliena Johari didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan  hari ini atas pertuduhan menggugurkan janin berusia lima bulan bersama bekas kekasihnya, dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pasangan bekas kekasih didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan berniat menjadikan janin berusia lima bulan mati apabila dilahirkan dengan cara menelan pil khas menyebabkan keguguran, dua tahun lalu.

Anggota tentera, Muhamad Nasarudin Hashim, 26, mengaku bersalah manakala bekas kekasihnya, Dayang Nur Juliena Johari, 20, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan bersama ke atas mereka, tertuduh didakwa makan sebiji pil Miferistone iaitu pil gugur janin dengan niat memastikan janin berusia lima bulan yang dikandung Dayang Nur Juliena mati selepas dilahirkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah rumah di Kok Lanas di sini, kira-kira pukul 11 malam pada 22 Mei 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid manakala kedua-kedua tertuduh tidak diwakili peguam. Terdahulu, Fariz menawarkan jaminan masing-masing RM5,000 untuk kedua-dua tertuduh.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 bersama seorang penjamin setiap seorang selain menetapkan tarikh 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan terbabit. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya