PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin menyifatkan cadangan untuk desentralisasi sistem pendidikan negara hanya akan mewujudkan percanggahan yang lebih besar.
Beliau berkata, sistem pendidikan negara ketika ini yang menggunakan pendekatan secara berpusat juga berdepan dengan pelbagai percanggahan.
“Kita ada lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara, sekarang ini tak ada desentralisasi pun pelbagai percanggahan yang berlaku.
“Pihak kementerian sedang cuba memastikan supaya keadaan lebih tersusun, jadi buat masa ini kita ikut ketetapan yang telah dilaksanakan supaya tidak berlaku terlalu banyak percanggahan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau turut memberi contoh apa yang akan terjadi jika desentralisasi dilaksanakan, dengan kuasa pengurusan sekolah diberikan kepada peringkat jabatan pendidikan daerah atau negeri.
“Nanti sekolah sebelah buat macam ini, sekolah sebelah sana akan menghubungi kita, buat macam itu pula. Perasaannya pelbagai nanti, banyak percanggahan.
“Pengurusan sekolah perlu dalam keadaan lebih tersusun dan perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum mengambil sesuatu tindakan,” katanya. – UTUSAN