LONDON: David De Gea menunggu hampir tujuh tahun untuk menyelamatkan penalti dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kali terakhir menyelamatkan sepakan pemain Everton, Leighton Baines pada Oktober 2014.
Detik tersebut, kembali diulangi penjaga gol Manchester United itu ketika menyelamatkan penalti yang merupakan pertama kali dilakukannya dalam 41 perlawanan.
Lebih manis, kejayaan penjaga gol berusia 31 tahun itu menampan sepakan Mark Noble ketika permainan berbaki beberapa saat sebelum berakhir, menghadiahkan kemenangan 2-1 buat skuad Red Devils ke atas West Ham dalam aksi EPL di Stadium London.
Skuad Hammers hampir mencuri satu mata apabila pengadil Martin Atkinson menganugerahkan penalti pada masa kecederaan dan pengurus, David Moyes membawa masuk kapten, Mark Noble daripada bangku simpanan untuk melaksanakan tugas itu tetapi dihampakan De Gea.
Kegagalan Noble mengejutkan rakan sepasukan dan penyokong kerana dia mempunyai rekod bagus dari jarak 11 meter dan De Gea pula gagal menyelamatkan penalti sejak sekian lama.
Noble meledak 27 daripada 31 penalti sebelum aksi semalam dengan 87 peratus kejayaan manakala De Gea gagal menyelamatkan 40 penalti terakhir termasuk untuk kelab dan negaranya.
Paling diingati ialah kegagalannya ketika United tewas menerusi penentuan penalti kepada Villarreal pada final Liga Europa musim lalu.
“Saya lihat Rice pegang bola jadi saya jangka dia akan membuat sepakan tetapi kemudiannya saya nampak Noble.
“Saat terakhir perlawanan dan saya menyelamatkannya, ia tiga mata bermakna buat kami,”
Jaringan Cristiano Ronaldo pada babak pertama menafikan gol pembukaan Said Benrahma kemudian Jesse Lingard yang menyerlah ketika dipinjamkan bersama The Hammers bagi musim 2020-21 menjaringkan gol kemenangan buat United selepas masuk sebagai pemain gantian.- AGENSI