PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman mahu menjadikan aksi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebagai pembakar semangat untuk dia menduduki podium perlumbaan FIM CEV Repsol di San Marino minggu ini.
Dia yang mesra dengan panggilan ‘Damok’ tampil dengan aksi positif ketika beraksi bersama pasukan Petronas Sprinta Racing dalam kelas Moto3 dengan menduduki kedudukan ke-13 di Aragon.
Damok berharap ia akan menjadi motivasi kepadanya untuk beraksi di San Marino.
“Selepas berakhir saingan di Aragon saya akui memang tidak sabar untuk bersama pasukan saya semula untuk memulakan perlumbaan di CEV Moto3 nanti.
“Menjelang perlumbaan di Misano, impian saya adalah ingin melakukan terbaik dan memberi tentangan untuk berada di atas podium sekali lagi,” katanya.
Pelumba SIC Racing tersebut yang meraih kemenangan sulung di Litar Catalunya, Barcelona pada Jun lalu kini berada di kedudukan ke-14 keseluruhan dengan 43 mata.
Pelumba pasukan Junior Aspar Team, Daniel Holgado yang memenangi empat perlumbaan kekal mendahului dengan 176 mata dan David Munoz (Avatel -Cardoso Racing) tangga kedua dengan 134 mata.