"Dahulu artis dilayan seperti YB" - Utusan Malaysia

“Dahulu artis dilayan seperti YB”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“WAH, pandai timing you telefon saya malam ini untuk interview. Sebab malam ini pukul 12, birthday saya tau,” jawabnya di hujung talian.

Itu antara mukadimah awal ketika saya menghubunginya. Walaupun sudah lama tidak berbual dan berjumpa, namun celotehnya sama seperti dahulu. Sikap ramah dan tidak berselindung dalam setiap pertuturan menjadikan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Katakanlah Kepadaku ini cukup senang didekati.

“Nak interview tentang apa itu? Saya ini sudah lama kunci diri dalam almari. Tiada benda yang nak diceritakan,” katanya tertawa.

Saya hanya tergelak.

“Orang yang senyap itulah ada banyak cerita. Mesti peminat nak tahu kenapa tiba-tiba dia senyap. Apa-apa pun saya ucapkan selamat ulang tahun kelahiran,” tambah saya.

Bersama Khabar Legenda, anak kelahiran Lenggong Perak, Rohayatusshima Mohd. Aris, 46 atau lebih dikenali dengan nama Tushee ini berkongsi cerita tentang perjalanan awal karier seninya sehinggalah dia berjaya memahat nama di persada industri hiburan tanah air.

“Sejak umur lima tahun saya sudah menyanyi. Waktu itu saya dan rakan-rakan sebaya sering masuk pertandingan nyanyian di Kompleks Penjara Taiping memandangkan ayah bertugas sebagai warden di sana. Kiranya kalau ada aktiviti nyanyian memang muka saya sahajalah yang muncul.

“Ketika darjah enam saya sekeluarga berpindah ke Kajang kerana ayah bertukar kerja di sana. Seorang kenalan keluarga bernama Abang Ito syorkan kepada saya agar sertai pertandingan nyanyian anjuran Box Office. Waktu saya pergi itu punyalah ramai peserta sehinggakan timbul rasa takut untuk bertanding. Maklumlah, selama ini hanya menyanyi di pentas kampung sahaja,” katanya.

Anak pertama daripada dua beradik ini memberitahu, pada mulanya dia cukup teruja menyertai pertandingan tersebut, namun lama-kelamaan timbul pula rasa bosan apabila terpaksa menunggu lebih satu tahun menanti keputusannya.

Menurutnya, apa yang menyebabkan pertandingan tersebut mengambil masa panjang adalah disebabkan penganjur meletakkan beberapa kategori untuk dipertandingkan antaranya, solo, duet dan berkumpulan.

Tidak meletakkan harapan untuk ke peringkat lebih tinggi, baginya cukup sekadar dia melunaskan tugas diamanahkan. Baginya jika rezeki sudah tertulis pasti ada pengakhiran baik buatnya.

“Namun tanpa disangka, saya akhirnya berjaya ke peringkat akhir dan menjadi juara pertandingan. Masih ingat lagi waktu itu saya bawakan lagu Sinaran dendangan Sheila Majid dan Kerana Terpaksa nyanyian Francissca Peter,” katanya.

Ibarat tuah datang bergolek, selepas kemenangan tersebut dia menerima beberapa tawaran merakamkan album, namun kontraknya masih terikat dengan Platinum Records milik Ali Bakar, penganjur pertandingan Box Office. Walaupun terpaksa menunggu sekian lama, akhirnya impian untuk bergelar artis rakaman terkabul apabila syarikat rakaman melunaskan impiannya.

Namun berita gembira tersebut bukanlah penamatnya. Rasa kecewa sedikit terbit dalam dirinya apabila diberitahu album pertama yang bakal diterbitkan bukanlah album solo, tetapi album duet bersama seorang lagi juara pertandingan iaitu Jeffary Joseph.

Pada mulanya dia kurang bersetuju dengan tawaran tersebut, namun setelah memikirkan perjalanannya yang masih jauh, dia akur. Fikirnya peluang ini mampu menjadikan pemangkin untuknya bergerak lebih jauh pada masa akan datang.

“Saya fikir, hentam sahajalah. Kita pun masih baru. Kalau demand sangat nanti apa pula orang kata. Bila dah orang tawarkan rakam album ini kira bersyukur sahajalah. Saya fikir jauh ke hadapan. Mungkin ini ruang awal buat saya.

“Setelah punya album saya jadi cukup terkenal di sekolah. Tambah pula saya bersekolah dan sekelas dengan Ruhil Amani Hussin yang ketika itu sudah punya album solo. Kiranya waktu di sekolah kalau ada acara nyanyian memang muka saya dan Ruhil lah yang orang nampak,” katanya tertawa.

Tidak menafikan lagu-lagu dalam album duet pertamanya, Jeffary dan Tushee cukup sedap dan berkualiti, namun disebabkan kurangnya promosi dan publisiti menjadikan namanya kurang dikenali.

Namun begitu rezekinya tetap murah apabila sering menerima tawaran persembahan di pelbagai lokasi terutamanya di pentas terbuka seperti pusat beli-belah serta di tapak-tapak ekspo serata negeri.

Tidak bernoktah di situ, dia meneruskan langkah seninya apabila menyertai pelbagai program hiburan di stesen televisyen tempatan termasuklah Pertandingan Asia Bagus.

Perancangan menerbitkan album solo akhirnya terkabul apabila dilamar syarikat rakaman SRC. Album berjudul Di Sebalik Janji yang diterbitkan pada 1994 berjaya menggilap namanya apabila lagu Katakanlah Kepadaku berjaya mengungguli Juara Carta Mingguan Pujaan 10 Nescafe selama beberapa minggu.

Meniti populariti dalam waktu singkat menjadikan pihak syarikat rakaman menaruh kepercayaan kepadanya. Tidak menunggu lama dia seterusnya diberi peluang menerbitkan album berikutnya iaitu, Ku Rasa Apa Yang Kau Rasa (1996), Amboi Malu (1998) dan Bukan Mudah Merawat Luka (2001).

“Namun dua album terakhir ketika itu memang berbeza apabila boleh dikatakan hampir keseluruhannya berkonsep dangdut. Langsung tidak sama dengan album-album sebelum yang bergenre pop dan ballad. Sudahnya sampai hari ini peminat cop saya sebagai penyanyi dangdut,” ujarnya tertawa.

Sudah malas nak cipta glamor

Tidak dinafikan ramai peminat berpendapat karektornya amat sesuai membawakan lagu-lagu berentak dangdut kerana pakej yang ada padanya. Irama dangdut juga dilihat berjaya memberi impak dan kepuasan kepada peminat yang menonton persembahannya berbanding irama pop dan balada yang pernah dibawakan sebelum ini.

“Dulu tidak ada media sosial. Peminat nak tengok persembahan artis kena datang waktu konsert. Jadi sebagai artis kita kena hiburkan peminat dengan penuh kesungguhan. Lagu-lagu yang disampaikan juga mainkan peranan besar. Jadi peminat ini kalau layan lagu dangdut mereka memang enjoy, confirm mereka bergelek sama dengan kita.

“Dahulu kalau buat show habis segenap ceruk kampung dan felda saya pergi. Terlalu banyak kenangan indah waktu tu. Mereka layan penyanyi ini seperti Yang Berhormat melawat kawasan. Bukan senang nak jumpa artis. Hujan, panas, ribut sekalipun mereka tetap tunggu kerana itulah sahaja hiburan yang ada.” katanya.

Setiap momen itu diabadikan sebagai kenangan terindah buat dirinya tambah pula dia kini sudah tidak aktif seperti dahulu. Baginya zaman untuk kembali menakluk dunia glamor telah berakhir walaupun masih ada rakan-rakan seusianya yang aktif sehingga kini.

Akui tawaran mengadakan persembahan masih ada, namun pelakon drama Semarang ini tidak menerima dengan sewenang-wenangnya. Bukan memilih, tetapi apa yang penting perlu mengutamakan kehidupan bersama suami dan anak-anak ketika ini.

Tidak hairanlah dia sentiasa memberi peluang kepada rakan-rakan artis lain yang masih aktif jika melihat adanya kekangan untuk menjayakan setiap tawaran yang datang. Tidak bermaksud sudah cuci tangan, malah ada banyak faktor yang perlu diteliti dan diperhalusi.

“Saya memang tekad untuk perlahankan aktiviti nyanyian selepas melahirkan anak pertama. Saya fikir sudah tiba masanya untuk tumpukan perhatian kepada keluarga. Rasa dah malas nak naik ke pentas macam dahulu. Cukup-cukuplah dengan apa yang sudah saya lalui sebelum ini. Semua saya sudah rasa.

“Sebelum ini ada juga yang syorkan agar saya buat come back terbitkan single atau pun sertai rancangan realiti TV, saya gelak sahaja. Saya dah malas nak glamor-glamor macam dulu. Dah letih nak mekap-mekap ini,” katanya tertawa.

Bahagia dengan kehidupannya kini, bekas Juara Bintang Radio 3 Shah Alam ini akui lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga tercinta. Namun, walaupun sudah tidak aktif dia masih mengikuti perkembangan seni tanah air terutamanya melibatkan rakan-rakan rapat yang aktif sehingga kini.

“Menyanyi ini adalah passion, tambah pula jika sudah bertahun kita bergelumang dalam bidang ini. Saya sendiri pun adakalanya rindu nak menyanyi, tapi bila dah pencen ini saya menyanyi di dapur dan bilik air sahajalah. Janji boleh lepaskan gian,” katanya tertawa mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya