KOTA BHARU: Pemilik pusat tahfiz dan pondok swasta di seluruh negara yang masih tidak berdaftar, digesa segera berbuat demikian dengan majlis agama negeri masing-masing bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya sedia maklum institusi pendidikan agama berkenaan bergantung sepenuhnya kepada sumbangan pelajar dan masyarakat.
Katanya, disebabkan sesi persekolahan masih tidak dibuka ekoran pandemik Covid-19, rata-rata pusat tahfiz dan pondok swasta mula terkesan sehingga ada yang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi.
“Isu pondok dan pusat tahfiz swasta yang dibangkitkan baru-baru ini memang menjadi keutamaan kerajaan dan banyak pertemuan dengan pihak terbabit dilakukan untuk mengatasi masalah mereka.
“Apa yang penting, mereka perlu mendaftar dulu dengan negeri masing-masing dan cukup kriteria untuk beroperasi sebagai sebuah tahfiz. Kalau semuanya baik, maka mudah untuk kita salurkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid As- Salam, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, untuk tahun ini sahaja, kerajaan sudah menyalurkan RM60 juta kepada institusi pendidikan tahfiz swasta di seluruh negara namun jumlah itu masih tidak mencukupi
“Kita akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai masa depan pusat tahfiz dan pondok dalam waktu terdekat,” katanya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kira-kira 140 pusat tahfiz di seluruh negara sudah ‘gulung tikar’ atau menutup operasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan pandemik Covid-19 yang menular sejak setahun lalu.
Bendahari Agung Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata), Datuk Adnan Hashim berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 10 peratus daripada 1,400 pusat tahfiz yang berdaftar dengan persatuan tersebut.
Menurut beliau, ekoran penutupan tersebut, sejumlah 1,120 tenaga pengajar hilang pendapatan manakala lebih 7,000 pelajar terjejas. – UTUSAN