KUALA LUMPUR: Sejak berita keadaan kesihatan penyanyi Aishah merosot dek jangkitan Covid-19, ruang komen penyanyi Janji Manismu ini disirami doa daripada peminat termasuk rakan-rakan artis tanpa henti.
Titip doa setiap daripada rakan kenalannya mengharapkan semoga juara Gegar Vaganza musim keempat ini diberikan kesembuhan daripada Yang Maha Mengetahui.
“Cepat sembuh ya kak Aishah. Terus kuat. Insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja. Tolong banyakan berehat,”.
Itu antara doa daripada rakan-rakan selebriti tempatan, Nora Ariffin, Sharifah Shahirah, Fedtri Yahya, Zur Eda, Fatimah Abu Bakar, Que Haidar dan ramai lagi.
Terdahulu, Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 56, dilaporkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta.
Isnin lalu, Aishah dikejarkan ke Hospital Ampang berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus.
Manakala semalam, tahap oksigen penyanyi ini yang sebelum ini stabil turun mendadak selepas tiub pernafasannya ditanggalkan.