Cadangan MPP disambut baik - Utusan Malaysia

Cadangan MPP disambut baik

MUHAMMAD DARWISY ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas Cadangan Pemulihan Institusi Pengajian Tinggi yang diserahkan oleh Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mewakili 12 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) awam dan swasta di Malaysia mendapat respons positif daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Presiden Kesatuan Pelajar UIAM, Muhammad Darwisy Roslan berkata, dia dimaklumkan oleh pegawai di KPT bahawa kedua-dua dokumen tersebut turut menjadi rujukan dalam perangkaan Pelan Pemulihan IPT akan datang.

“Beberapa tuntutan disenaraikan pihak kami akan dipenuhi, namun pengumuman belum dilakukan. Malah, ada juga tuntutan yang disalurkan kepada kementerian lain melihat kepada kapasiti kementerian tersebut untuk memenuhi tuntutan diberikan.

“Cumanya di sini, saya sarankan KPT untuk memaklumkan kepada semua bahawa pihak mereka menyambut baik cadangan kesatuan pelajar agar semua pihak tidak membuat spekulasi terhadap pelan dirancang KPT ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia..

Pada 28 Julai lalu, dilaporkan penyerahan Surat Terbuka kepada KPT oleh Kesatuan Pelajar UIAM mewakili 12 MPP awam dan swasta di Malaysia. Malah, We Unite For Islam (WUFI) UIAM turut menyerahkan Kertas Cadangan Pemulihan Institusi Pengajian Tinggi pada 31 Ogos lalu.

Terdapat lima cadangan yang disertakan menerusi Surat terbuka tersebut, antaranya melaksanakan perubahan akademik dalam isu kesejahteraan mental penuntut, vaksinasi mahasiswa dalam mempercepat kelas bersemuka dan memperbaiki kebolehcapaian jaringan di kampus dan di peringkat kebangsaan.

Seterusnya, kementerian digesa mendedahkan statistik kes Covid-19 kepada pihak IPT untuk edaran dalaman serta menuntut ketelusan dan kemajuan usaha KPT untuk masa depan IPT pasca-Covid-19.

Menerusi Kertas Cadangan Pemulihan IPT pula, terdapat juga lima cadangan dikemukakan. Antaranya ialah KPT perlu mengeluarkan pelan tindakan pemberian vaksin warga IPT dan perancangan sistematik pergerakan pergi dan pulang penuntut untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Selain itu, cadangan juga berkaitan pelaksanaan kelas daripada mod dalam talian kepada mod hibrid bagi memulihkan kembali kualiti pembelajaran dan pengajaran serta perhatian khusus isu graduan setelah tamat pengajian seperti Majlsi Konvokesyen dan Sijil sebagai keperluan melibatkan diri dalam industry.

Malah, cadangan juga melibatkan kebajikan pelajar berada di kampus yang perlu diutamakan bagi mewujudkan suasana sejahtera dari segi fizikal mahupun mental.

Surat terbuka ini turut dipersetujui bersama 12 kesatuan pelajar IPT lain termasuk dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dan DRB-HICOM U (DRB HICOM U). – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN