SHAH ALAM: Keluasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) diakui berkurangan kepada kira-kira 1,298.86 hektar sejak kali pertama diwartakan sebagai hutan simpan pada 1909 yang ketika itu seluas kira-kira 9,642 hektar.
Antara faktor pengurangan keluasan itu disumbang oleh beberapa pembangunan sejak 1976 termasuk Alam Budiman, Bandar Puncak Alam dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Selangor.
Bagaimanapun, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian memaklumkan, Kerajaan Negeri Selangor kini komited mengamalkan proses penggantian secara serentak bagi mana-mana kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang ingin dinyahwarta.
“Ini adalah selaras dengan pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2011 iaitu berkaitan keperluan penyiasatan awam bagi cadangan penyahwartaan HSK.
“Bagaimanapun, penyahwartaan HSKBC ini berlaku sebelum pindaan Enakmen Akta Perhutanan Negara 1985 ini iaitu pada tahun 2006. Justeru, penggantian kawasan HSK secara serentak didapati tidak diamalkan oleh kerajaan negeri pada masa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah pada 2007, sebahagian daripada kawasan HSKBC yang dinyahwartakan telah diwartakan semula sebagai HSKBC Tambahan dengan keluasan kira-kira 982.80 hektar.
“Kawasan projek pembangunan jalan raya dan perumahan yang ditularkan ini adalah sebahagian daripada kawasan terlibat dengan penyahwartaan HKSBC oleh kerajaan negeri terdahulu yang dinyahwartakan bagi tujuan pemberimilikan oleh kerajaan negeri pada 2006 melalui warta PW1443,” jelasnya.
Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan HSKBC sudah dinyahwarta sebanyak 21 kali bagi tujuan pembangunan komersial, perumahan, jalan raya serta institusi pengajian tinggi yang dilaporkan berlaku sebanyak 21 kali sejak 96 tahun lalu.
Justeru, HSKBC menjadi perhatian apabila terdapat dakwaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) apabila aktivisnya, Dr. Lim Teck Wyn memaklumkan terdapat kira-kira 202.34 hektar hutan dalam kawasan HSK sedang dibersihkan.
Namun, hal itu dinafikan Loy Sian yang memaklumkan, pembersihan kawasan berkenaan berlaku diluar kawasan hutan simpan dan nyahwartanya diberikan kepada syarikat pemilik pada tahun 2000.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, beliau turut menjelaskan berdasarkan semakan, didapati kawasan projek pembangunan tersebut berlaku di luar kawasan HSKBC dan HSKBC Tambahan yang diwartakan menerusi akta sama.
Tambahnya, kawasan projek pembangunan jalan raya dan perumahan yang ditularkan adalah merupakan sebahagian daripada kawasan yang terlibat dengan penyahwartaan HSKBC oleh kerajaan negeri terdahulu.
“Kini, HSKBC yang masih kekal adalah seluas kira-kira 1,298.86 hektar dan masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai kelas Hutan Perlindungan. Kawasan hutan simpan ini juga dikenali sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang merupakan antara taman rekreasi awam utama di sekitar Shah Alam.
“Secara umumnya, Kerajaan Negeri Selangor pada masa kini akan memastikan segala aktiviti pembangunan di sekitar kawasan tersebut mematuhi prosedur dan peraturan yang berkuatkuasa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE