KUALA LUMPUR : Pelakon veteran dan ibu kepada aktor Shaheizy Sam, Khaty Fauziah tidak menyangka ramai tidak berpuas hati dengan tindakannya merentas negeri baru-baru ini sehingga ada yang berbalas sindiran menerusi akaun media sosialnya.
Menurut Khaty, dia yang menetap di Melaka mengaku ada berbuat demikian bersama suaminya, Abdul Samad Jaaman kerana perlu mengikuti temu janji di Institut Jantung Negara (IJN) bagi menerima rawatan susulan.
“Saya sebenarnya tidak payah buktikan apa-apa di sini berkenaan dengan peristiwa semalam yang menjadikan sebahagian daripada anda semua bertelagah sehingga melemparkan berbagai sindiran.
“Saya dan suami yang merentas negeri. Anak-anak semua tinggal di persekitaran daerah yang sama di Selangor. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami juga macam anda, tak dapat berjumpa.
“Kalau anda memang ikhlas mengikuti perkembangan saya dan keluarga, tentu anda tahu saya baru menjalani prosedur jantung tiga bulan yang lalu. Tentulah saya perlu ke IJN untuk buat susulan,”katanya.
Khaty berkata demikian dalam satu hantaran di Instagram hari ini selepas warganet mengecam tindakannya merentas negeri dan bertemu dengan anak-anaknya di ibu kota menerusi satu lagi hantaran gambar yang dimuat naik kelmarin.
Selain itu, menurut Khaty, dia juga mengaku terpaksa bermalam di rumah anak namun masih melalui prosedur operasi standard (SOP).
“Saya kena bermalam di rumah anak yang ada anak ramai. Untuk masuk ke rumahnya saya dan suami kena tunggu 15 minit baru dapat masuk setelah melalui ujian calitan dan sebagainya. Ikut SOP,” katanya.
Dalam pada itu, Khaty turut mendedahkan dia melalui prosedur jantung yang serius dan sememangnya sudah lama tidak bertemu dengan ahli keluarganya sepanjang tempoh itu.
Malah, sebagai seorang warga emas, Khaty juga kesal dengan sikap segelintir warga net yang melemparkan kata-kata negatif.
“Untuk pengetahuan anda semua, ketika saya buat prosedur jantung yang sangat serius masa itu anak-anak, menantu-menantu serta cucu-cucu tidak langsung dapat melawat saya sehinggalah saya balik ke Melaka sebab kami patuh pada SOP.
“Anda dapat bayangkan tak kalaulah prosedur jantung saya gagal ketika itu? Saya dan keluarga saya langsung tidak dapat bersama atau berjumpa.
“Belajarlah menjaga hati dan perasaan orang, belajar berbahasa elok supaya bangsa kita dihormati. Saya dan keluarga juga hanya manusia biasa, kalau silap dan salah harap dimaafkan sahaja,”katanya.