TANJUNG MALIM: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengadakan pemeriksaan di semua sekolah bagi memastikan setiap kelas mempunyai sistem pengudaraan yang baik menjelang pembukaan semula sekolah, 3 Oktober ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, pemeriksaan dilakukan dengan teliti ke atas sistem pengudaraan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.
Katanya, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau masalah membabitkan sistem pengudaraan di sekolah-sekolah seluruh negara.
“Kita periksa semua sekolah dan setakat ini berpuas hati dan semua dalam keadaan baik (sistem pengudaraan),” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, di sini hari ini.
Pada program tersebut, seramai 127 pelajar SMK Proton City mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Mengulas lanjut Hang Soon berkata, kelas-kelas yang menggunakan penyaman udara dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaannya atau melaraskan suhu pada kadar yang disyorkan.
Katanya, suhu yang ditetapkan adalah antara 23 ke 26 darjah celsius.
“Apa yang paling penting pastikan sistem pengudaraan dalam keadaan baik. Jika guna pendingin hawa, jangan terlalu sejuk. Suhu yang disarankan adalah pada kadar 23 ke 26 darjah celcius,” katanya.
Sementara itu, mengulas program PICK Remaja, beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang bantahan termasuk secara bertulis oleh ibu bapa yang tidak mahu anak mereka disuntik vaksin Covid-19.
“Kita masih di peringkat awal PICK Remaja dan setakat ini pelajar-pelajar dan ibu bapa memberi kerjasama dan sangat bersedia.
“Apa yang paling penting adalah dari segi maklumat dan pendidikan di mana kita buat hebahan untuk menggalakkan pelajar-pelajar divaksinasi,” katanya.
Menerusi laporan media baru-baru ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sesi pembukaan sekolah secara fizikal akan dibuka mulai 3 Oktober ini.
Pembukaan itu bagaimanapun hanya akan dilaksanakan di negeri-negeri di bawah Fasa Ketiga dan Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kapasiti kehadiran murid 50 peratus bagi setiap sesi.
Bagi negeri-negeri di bawah Fasa Pertama dan Kedua PPN, pelajar akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kecuali bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan. – UTUSAN ONLINE