TENOM: Hasrat empat penduduk kampung membeli barang keperluan di Pekan Tenom berakhir menjadi tragedi apabila bot dinaiki karam di Sungai Padas berhampiran Kampung Kalandos, Pangi petang tadi.
Bagaimanapun, dua mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala, dua lagi iaitu seorang lelaki berusia 50 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dihanyutkan arus deras dan dikhuariti lemas.
Penolong Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.13 petang itu, bot dinaiki kesemua mangsa tiba-tiba terbalik semasa menghampiri tebing sungai kerana arus deras.
Semasa kejadian, dua mangsa iaitu seorang lelaki warga emas dan seorang wanita dewasa berjaya menyelamatkan diri dan dua lagi hilang dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Panggilan kecemasan yang diterima memaklumkan bot dinaiki empat orang mangsa yang baru selesai membeli barang keperluan di Pekan Tenom karam semasa menyeberangi Sungai Padas.
Pasukan bomba kemudian terpaksa menggunakan pengangkutan kereta api yang menjadi satu-satunya akses pengangkutan untuk ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut.-UTUSAN ONLINE