Bersedia hadapi cabaran masa depan - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Bersedia hadapi cabaran masa depan – Raja Muda Perlis

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL merasmikan masjlis sambutan hari guru peringkat negeri Perlis 2021 yang diadakan secara hibrid di Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Guru perlu bersedia menerima senario baharu pendidikan dunia secara lebih terbuka dan mempersiapkan para pelajar dengan kemahiran kelangsungan hidup bagi menghadapi cabaran dunia hari ini serta masa depan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah itu sekali gus membantu membentuk generasi digital yang setanding dengan negara maju lain.

Titah baginda, amalan sistem pendidikan kini membuka ruang kepada para guru untuk meneroka strategi dan teknik yang lebih menarik dan berkesan menerusi pelbagai pelantar pembelajaran.

“Namun, kaedah atau pedagogi yang digunakan dalam melaksanakan strategi pembelajaran tersebut bergantung kepada kreativiti serta pendekatan guru semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” titah baginda ketika berkenan merasmikan majlis sambutan hari guru peringkat negeri Perlis 2021 yang diadakan secara hibrid di sini semalam.

Terdahulu, turut menyampaikan ucapan ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Naharudeen Othman.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad.

Pada kesempatan sama, baginda mengingatkan guru-guru bahawa kejayaan mereka hari ini bertitik tolak daripada pendidikan yang mereka terima sebelum ini

Justeru, baginda berharap agar para pelajar turut beroleh kejayaan di masa hadapan hasil daripada pendidikan yang baik.

“Bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baru’ guru-guru haruslah berkemampuan mendepani pelbagai cabaran dan mempunyai kekuatan rohani yang utuh.

“Di samping itu, guru juga perlu menguasai ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam menerokai dunia tanpa sempadan pada hari ini. Sebagai seorang pendidik, semestinya menjadi keutamaan untuk sentiasa mewujudkan landasan pendidikan yang berkualiti sesuai dengan transformasi dan inovasi semasa,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya