Bentang Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari

Ahli Jemaah Menteri diarah bentang Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengadakan mesyuarat dengan Ahli Jemaah Menteri mengenai prestasi 100 hari di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Jemaah Menteri diarahkan mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kepada rakyat bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi tersebut bagi setiap Ahli Jemaah Menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi  memberi khidmat terbaik kepada rakyat. 

Beliau berkata, prestasi setiap Ahli Jemaah Menteri akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu Penilaian Prestasi Kementerian/Jabatan, Penilaian Kepemimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif, serta Penilaian Persepsi Awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan Kementerian/Jabatan di bawah tanggungjawab mereka.

“Pada 24 September dan 29 September lalu, saya mengadakan sesi bersama kesemua 31 Ahli Jemaah Menteri untuk  memuktamadkan senarai aspirasi yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan lebih awal iaitu pada 10 September lalu bersetuju agar Ahli Jemaah Menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi  masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran kerajaan bermula dari 1 September 2021 iaitu pada hari pertama mesyuarat Jemaah Menteri diadakan. 

Kata beliau, pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam Teras Utama iaitu Menstruktur Semula Ekonomi; Menjamin Keselamatan dan Ketenteraman Negara;  Meningkatkan Kesejahteraan Sosial; Mempertingkatkan Infrastruktur Menyeluruh; Memperkukuh Penyatuan dalam Acuan Keluarga Malaysia serta Memperkasa Penyampaian Perkhidmatan. 

“Dalam hal ini, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh Ahli Jemaah Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN