PETALING JAYA: Bekas pembaca berita RTM, Kamaruddin Ahmad, 78, meninggal dunia hari ini akibat sakit tua.
Memetik laporan portal RTM One News, Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Sentosa, Selangor, pukul 7 pagi ini.
Allahyarham Kamaruddin meninggalkan seorang balu, lapan anak, 17 cucu dan enam cicit.
Sepanjang 20 tahun bertugas di RTM, Allahyarham menjadi penyampai televisyen pertama dalam sejarah penyiaran negara bergandingan dengan Allahyarham Wan Chik Daud.
Dilaporkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Beruntung, selepas solat Asar nanti. – UTUSAN ONLINE