Bekas pemain bola sepak mahu jamin wanita curi tabung masjid - Utusan Malaysia

Bekas pemain bola sepak mahu jamin wanita curi tabung masjid

NOR AMIRA Roslan (tengah) dibawa keluar dari lokap sebelum memasuki Mahkamah Majistret Kangar atas pertuduhan mencuri tabung masjid di Kangar, Perlis, semalam. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang bekas pemain bola sepak Kedah ketika era 80-an menyatakan hasrat untuk menjamin wanita yang didakwa di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mencuri tabung Masjid Padang Pauh Padang Besar, Perlis.

Azmi Mat Napiah, 60, dari Jitra, Kubang Pasu, berkata, dia tersentuh membaca berita tentang wanita tersebut yang kini ditahan di lokap Penjara Pokok Sena di sini, selepas gagal membayar wang jaminan RM2,000 yang ditetapkan mahkamah.

“Saya tersentuh dan terasa sedih sangat-sangat apabila baca berita ini terutama memikirkan tentang anaknya yang masih kecil. 

“Saya cuba mengesan keluarganya di Perlis kerana saya mendapat maklumat itu saja cara saya boleh menjaminnya iaitu melalui keluarganya.

“Saya sendiri tak pasti tentang prosedurnya, kalau boleh jamin terus lagi baik,” katanya di sini hari ini.

Akhbar melaporkan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar semalam atas tuduhan mencuri tabung di sebuah masjid di Padang Pauh pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, yang bekerja sebagai tukang cuci membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.


AZMI MAT NAPIAH

Azmi yang juga Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka Kubang Pasu (Pewaris) berkata, Nor Amira baru seusia dengan anak sulungnya dan perkara itu meruntun jiwanya terutama memikirkan kesempitan hidup wanita itu sehingga sanggup melakukan jenayah tersebut.

“Kita tak tau apa masalahnya sebenarnya. Kita dengar cakap orang sahaja. Saya pun bukan kaya sangat gaji kecil sahaja kerana saya cuma bekas kerani. 

“Tetapi sebagai saudara seislam saya rasakan tidak boleh diam sahaja. Saya percaya Allah sedang uji kita bukan dia. Saya fikir macam mana manusia apatah lagi seorang perempuan sanggup curi tabung masjid.

“Mungkin dia bersalah tetapi kita tak boleh salahkan dia 100 peratus,” katanya.

Ditanya tentang tindakannya yang mungkin mengundang kecaman terutama daripada warga net, kata Azmi, dia mempercayai niat dan usahanya membantu wanita berkenaan adalah keikhlasan yang tidak boleh diperkotak-katikkan dengan penilaian manusia.

“Saya tahu itu (kecaman) pasti ada tetapi tak apalah itu antara saya dengan Tuhan, saya serah pada Allah. Saya bantu dia bukan bererti saya sokong apa yang dia lakukan.

“Kalau dia didapati bersalah maka dia akan terima hukuman. Tetapi hak dia juga untuk dijamin keluar kerana ada anak kecil perlukan dia tetapi dia tak mampu jadi saya nak bantu. Itu sahaja niat saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya