ISKANDAR PUTERI: Baru sahaja sebulan beroperasi, sindiket memproses arak tiruan dan penyeludupan rokok tidak bercukai tumpas setelah diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam di sebuah rumah di Jalan Prima 5/7, Taman Nusantara Prima, di sini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu, Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, kegiatan yang beroperasi sejak bulan lalu yang menjadikan rumah tersebut sebagai tempat penyimpanan rokok tidak bercukai itu terbongkar hasil risikan yang dijalankan pihaknya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah ini.
“Dalam serbuan tersebut, kita menahan dua orang lelaki warga tempatan berumur 24 dan 52 tahun serta berjaya merampas 530 karton rokok seludup atau lari cukai. Kita turut merampas 33 botol arak tiruan dan pelbagai peralatan memproses arak tiruan dengan nilai keseluruhan RM172,521.
“Turut dirampas ialah pelekat cukai kastam dipercayai palsu yang digunakan untuk arak tiruan yang diproses bagi memperdayakan pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dimin berkata, antara barang rampasan yang dirampas ialah 480 karton rokok AXR 20 batang, 50 karton rokok NYX 20 batang, satu kotak arak jenama Club 99 mengandungi 15 botol (700 ml), lima kotak arak jenama Club 99 mengandungi 28 botol (350 ml).
Katanya, turut dirampas mesin penutup botol automatik, mesin penutup botol manual, dua tong lutsinar yang berisi cecair dipercayai alkohol, dua tong yang berisi cecair warna hitam dipercayai pati arak.
Sementara itu, PGA juga merampas tiga tong plastik warna biru yang berisi cecair warna gelap dipercayai arak tiruan dan dua kotak warna coklat yang berisi penutup botol bertulisan Club 99 (1,325 keping) dan pam air elektrik.
“Kita turut menyita dua buah kereta jenis Perodua Alza warna putih dan warna ungu yang digunakan dalam sindiket tersebut,” katanya yang memaklumkan kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 iaitu kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis merampas sebanyak 1,060 kartun rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM41,000 setelah mẹmbuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Taman Melawati, Nusa Bestari, juga semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan pukul 8 malam itu, polis menahan seorang lelaki Bangladesh berusia 34 tahun yang merupakan pekerja di premis tersebut.
Katanya, hasil risikan, Op Kontraban dilancarkan bagi mengesan aktiviti penjualan rokok yang tidak berdaftar dan beroperasi secara haram.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, pelbagai jenis rokok yang tiada cukai kastam yang disimpan didalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah tersebut yang dianggarkan bernilai RM41,000,” katanya. – UTUSAN