JASIN: Pilu hati seorang bapa apabila menyaksikan sendiri anak lelakinya maut digilis sebuah lori ketika sedang belajar menunggang motosikal di Jalan Hutan Percha di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi tadi, mangsa, Taufik Hidayat Mohd. Rasul, 20, yang juga merupakan penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan bapanya menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan dari arah Hutan Percha menghala ke rumah mereka di Melaka Perdana.
“Setiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa bagaimanapun dikatakan telah bergesel dengan sebuah lori menyebabkannya terjatuh dan digilis kenderaan berat berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, hasil soal siasat, bapanya mendakwa, mangsa baharu mendapat lesen memandu pada 25 Ogos lalu dan ketika kejadian, dia sedang memantau anaknya belajar menunggang motosikal.
“Ketika kejadian bapanya terlebih dahulu telah memotong lori tersebut dan memantau anaknya menunggang menerusi cermin motosikalnya. Dia kemudian melihat motosikal anaknya bergesel dan mangsa terjatuh sebelum digilis lori tersebut,” jelasnya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN