Bakar rumah keluarga bekas kekasih - Utusan Malaysia

Bakar rumah keluarga bekas kekasih

LIM Yeow Sin tidak dibenarkan diikat jamin dan perlu menjalani ujian psikiatri di Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membakar rumah keluarga kekasihnya dan mencederakan wanita tersebut, minggu lalu.

Tertuduh, Lim Yeow Sin, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menggunakan api sehingga menyebabkan kebinasaan terhadap rumah milik En Lim Asun @ Lim Kim Soon,78, sehingga menyebabkan kerugian lebih RM80,000.

Tindakan itu dilakukannya pada pukul 5.20 petang di Rumah Awam Bertam Malim dalam daerah Melaka Tengah, 17 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan tangan di siku seorang wanita Lim Shu Lin, 46, pada pukul kira-kira 8 malam di lokasi sama, 16 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Difahamkan, tertuduh bertindak membakar rumah tersebut, yang merupakan kediaman keluarga kekasihnya susulan berang wanita berkenaan meninggalkannya selepas seminggu tinggal bersama-sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon agar tertuduh dihantar menjalani ujian psikiatri di Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru dan tidak dibenarkan untuk dijamin sehingga prosedur tersebut selesai dijalankan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun enggan mengemukakan sebarang rayuan.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Nariman bersetuju untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 22 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya