ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kecewa apabila Amerika Syarikat (AS) memberikan sokongan kepada organisasi pengganas di Syria.
Jelasnya, dua negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kini berada dalam kedudukan yang sangat jauh berbeza.
“Kita tidak pernah mempunyai pengalaman berhadapan situasi itu dengan pemimpin AS terdahulu.
“Biar kita melawan organisasi pengganas bersendirian kerana AS memberikan banyak bantuan kepada pengganas,” katanya semasa menjawab pertanyaan wartawan selepas solat Jumaat di Istanbul.
Menurut Recep Tayyip, sebagai negara NATO, Turki mesti berkongsikan perkara ini kepada pengetahuan dunia.
Beliau merasakan hubungan dengan rakan sejawat dari AS, Joe Biden ‘tidak bermula dengan baik’ sejak kunjungannya ke White House.
“Saya ingin mengadakan hubungan mesra dan tidak bermusuhan. Tetapi, cara perjalanan dua sekutu NATO ketika ini tidak begitu menguntungkan,” jelasnya.
Recep Tayyip memberitahu beliau ‘lebih selesa bekerja’ dengan Presiden AS sebelum ini seperti George W. Bush, Barack Obama dan Donald Trump.
AS dilaporkan bekerjasama dengan organisasi pengganas PKK Syria, YPG di timur laut Syria untuk memerangi kumpulan militan Daesh.
Sedangkan, Turki menentang keras kehadiran kumpulan pengganas di Syria utara dan pembentukan koridor pengganas, yang menjadi titik tolak ketegangan hubungan Turki-AS.
Dengan alasan memerangi Daesh, AS memberikan latihan ketenteraan kepada YPG, walaupun menimbulkan isu keselamatan kepada Turki.
Turki sudah lama membantah sokongan AS kepada YPG kerana kumpulan itu menimbulkan ancaman kepada Syria dengan menindas penduduk tempatan, memusnahkan kediaman serta memaksa penduduk melarikan diri.
Turki berpegang prinsip sesebuah negara tidak boleh memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas untuk menyerang pengganas lain.
Disebabkan itu, Turki melaksanakan sendiri operasi membanteras keganasan yang berjaya mengeluarkan sejumlah besar pengganas dari wilayah tersebut.
TURKI BANTU RAKYAT SYRIA
Wakil Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ankara ke Pejabat Geneva, Sadik Arslan berkata, Turki sentiasa menjadikan bantuan kemanusiaan dan perlindungan keselamatan terhadap orang awam sebagai keutamaan di Syria.
Berhubung laporan setebal 46 muka surat yang disediakan oleh Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB, mengenai keadaan kemanusiaan di Syria antara 1 Julai 2020 hingga 30 Julai 2021, Arslan menjelaskan sekitar sembilan juta rakyat Syria mendapat bantuan langsung atau tidak langsung dari Turki.
Jelasnya, rejim pemerintahan Bashar al-Assad bertanggungjawab dengan soal kebuluran, gangguan perkhidmatan asas dan menghalang bantuan kemanusiaan selama 10 tahun.
Katanya, wilayah Daraa paling banyak terjejas.
Bercakap mengenai isu Syria semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke-76, Recep Tayyip menegaskan komuniti antarabangsa tidak boleh membiarkan krisis Syria berlanjutan bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau menjelaskan selama bertahun-tahun Turki berusaha menyelesaikan krisis Syria menerusi pelbagai platform, termasuk proses Astana dan perbincangan dengan Rusia yang merupakan penyumbang utama kepada rejim Bashar.
Katanya, Turki bukan sahaja menerima hampir empat juta pelarian Syria, bahkan menghantar pasukan tentera untuk berperang melawan kumpulan pengganas sehingga menyebabkan wilayah di negara itu bermandi darah dan air mata.
Sejak 2016, Turki melancarkan empat operasi membanteras keganasan bagi menghalang pembentukan koridor keganasan serta membolehkan penempatan semula penduduk secara aman.
Operasi tersebut adalah Euphrates Shield, 2016, Olive Branch (2018), Peace Spring (2019) dan Peace Shield (2020).