Baru-baru ini, Poklip ada memandu melepasi depan Istana Budaya. Terus menerpa rasa rindu. Kalau dahulu sebelum pandemik ‘menjajah’, selalu sahaja Poklip menapak di sana. Ada sahaja aktiviti seni dan budaya berlangsung.
Tetapi disebabkan oleh pandemik, semuanya tertangguh dan terhenti. Rasanya berbaris juga persembahan teater dan konsert yang sepatutnya berlangsung. Namun apalah daya kita kan, melopong sahaja.
Cuma Poklip tertanya-tanya juga, apa khabar Istana Budaya? Melalui jalan besar depan bangunan bersejarah itu, Istana Budaya seolah-olah ‘suram’. Bumbungnya kelihatan rosak teruk dan sekelilingnya juga berselerak daun.
Memang ditinggalkan kosong tiada berpenghuni atau bagaimana? Kita sedia maklum, memang tiada aktiviti seni dan budaya dijalankan tetapi takkan pembersihan juga tertangguh sama? Ibarat rumah kosong yang ditinggalkan.
Sebelum ini, memang ada perancangan untuk menambah baik Istana Budaya tetapi mungkin kerana pandemik itu terpaksa dihentikan sementara. Cuma itu bukan satu alasan untuk tidak menjaganya.
Hati pengunjung yang sering kali ke Istana Budaya pasti merasai kekecewaan dan pertanyaan sama seperti Poklip. Kita cuba bersangka baik, mungkin itu salah satu proses penambah baikkan yang tertangguh.
Sebab nampak usang sangat Istana Budaya yang satu ketika dahulu penuh warna warni. Sedih rasa hati melihat bangunan itu ‘sepi’ sebegitu.
Kita juga tahu, Istana Budaya ada menayangkan teater secara virtual di YouTube tetapi nampaknya seperti kurang promosi dan publisiti. Kena layari website baru tahu ada rupanya aktiviti seni.
Mungkin pihak pengurusan dan pemasaran serta promosi kena lebih agresif. Semarakkan aktiviti seni dengan lebih menyeluruh. Poklip sekadar mencadang, selebihnya pihak Istana Budaya lebih tahu.