PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Afdlin Shauki menitipkan peringatan kepada peniaga agar membuang rasa bimbang dalam mengusahakan perniagaan yang sama seperti peniaga lain.
Kata Afdlin, mereka sepatutnya percaya dengan kemahiran yang ada seperti berpegang kepada rezeki yang ditentukan Allah SWT.
“Kawan-kawan, orang lain jual karipap, kita pun takut nak jual. Sepatutnya kita jual sahaja kerana kita bukan bersaing, kita menggunakan kemahiran kita untuk kita juga dapat pelanggan sepertinya.
“Orang lain jual tudung, kita pun yakin boleh jual kerana kita tahu matlamat kita pun sama besar dengan dia. Nak bantu lebih ramai orang.
“Rezeki kita semua cukup. Allah beri kepada yang berusaha, tak perlu takut-takut,” tulisnya di Instagram.
Kata pelakon filem Buli ini, selain fokus dan disiplin, peniaga perlu ada keinginan untuk membantu orang lain.
“Fokus, disiplin dan sentiasa ada perasaan dan berjiwa nak bantu orang. Allah bantu.
“Allah tidak sia-siakan orang yang berusaha,” tulisnya lagi.
Perkongsian Afdlin itu telah menarik perhatian warganet termasuk rakan selebriti, Carmen Soo yang terinspirasi dengan pandangan pelakon berusia 50 tahun itu.
“Itu benar. Terima kasih atas inspirasi ini,” tulis pelakon itu di ruangan komen.