All Together Now Malaysia ditayangkan semula - Utusan Malaysia

All Together Now Malaysia ditayangkan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas menerima kecaman sebelum ini gara-gara dakwaan isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Astro kembali membawakan semula tayangan program All Together Now Malaysia (ATNMY) secara eksklusif di saluran Astro Ria dan platform digital.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro yang mewakili Astro Ria, Raqim Ahmad,pihaknya berbesar hati dalam usaha tersebut yang dilakukan sejajar dalam menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun Astro yang ke-25.

“Alhamdulillah, kini segalanya telah selesai dan kami ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat.

“Justeru, fokus penting yang menjadi keutamaan kami adalah untuk bergerak ke hadapan demi memastikan variasi kandungan terbaik dapat terus disajikan khusus buat pelanggan kami,”katanya.

Penonton bakal disajikan dengan tayangan episod istimewa ATNMY secara eksklusif yang menampilkan bintang-bintang kelahiran program hiburan popular terbitan Astro seperti Akademi Fantasia, Big Stage, Maharaja Lawak Superstar, The Masked Singer Malaysia, Gegar Vaganza, Ceria Popstar, Kilauan Emas, Golden Melodies dan sebagainya.

Malah, menepati tagline ‘Bersatu Dengan Lagu’ dan konsep program realiti yang mengangkat semangat muhibah dan kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia, pentas ATNMY bakal dibuka dengan sebuah episod istimewa Astro ke-25.

Ia dijadualkan bersiaran secara eksklusif pada hari Sabtu, 11 September 2021, jam 10.00 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Manakala konsert mingguan selama 10 minggu pula akan mengisi slot hari Ahad, jam 9.00 malam bermula dengan tayangan konsert minggu pertama pada 12 September 2021.

Untuk makluman, program realiti ATNMY ialah sebuah pertandingan nyanyian adaptasi daripada format antarabangsa popular ‘All Together Now’ yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One.

Malaysia merupakan negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan.

Selebriti popular, Sherry Al Hadad menggalas tanggungjawab selaku hos pentas utama manakala program kapsul ‘Di Sebalik All Together Now Malaysia’ pula dikendalikan oleh gandingan Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar.

Pengacara, Aswad Jalil dan personaliti media sosial yang ini bergelar pelakon, Norreen Iman pula digandingkan sebagai hos program ‘All Together Now Malaysia Live Plus’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Seramai 50 juri daripada barisan penggiat seni tersohor tanah air merangkumi pelbagai cabang seni yang berbeza seperti penyanyi, pelakon, pelawak, penyampai radio, pengacara dan personaliti media sosial telah dilantik untuk mengadili program ini yang diketuai oleh selebriti popular Dato’ AC Mizal selaku ‘Kapten Juri’.

Nasib para peserta akan diadili oleh barisan 50 juri profesional berdasarkan sistem penjurian kalah mati. Setiap juri mewakili dua markah.

Dua peserta yang mendapat markah tertinggi pada setiap episod akan mara ke peringkat akhir ATNMY Final untuk merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Penerbitan ATNMY turut disokong oleh Gempak dan Ria X yang turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA, HITZ dan RAAGA pula hadir sebagai Rakan Radio Rasmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya