PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengambil tindakan sewajarnya jika wujud unsur-unsur hasutan yang dibawa oleh ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara tindakan yang boleh diambil termasuk meletakkan individu berkenaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Beliau berkata, pihaknya mengakui ada individu yang sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menghasut dan menakut-nakutkan PDRM.
“Kalau dia dikesan melanggar undang-undang percetakan, kita juga boleh ambil tindakan dari sudut itu.
“Sekiranya, dia cuba menghasut sehingga orang tidak selesa dan cuba lari dari negara kita, itu juga boleh diambil tindakan dan mungkin diletakkan di bawah SOSMA,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Hamzah juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang juga boleh dikenakan terhadap pengikut ajaran itu.
“Pihak kementerian akan melihat tindakan mana yang sewajarnya boleh dikenakan terhadap penghasut dan pengikut ajaran itu,” katanya.
Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang wanita berusia 39 tahun meramalkan bahawa Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah.
Wanita yang menggunakan gelaran Sittah Annur itu kini adalah individu penting di sebalik ajaran PMYT, dan difahamkan, ajaran itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan medium media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, setakat 31 Ogos lalu, seramai 301,031 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya didaftarkan menerusi Pelan Rekalibrasi PATI.
Menurutnya, ia membabitkan seramai 122,270 PATI yang didaftarkan menerusi Program Rekalibrasi Pulang dan seramai 178,743 PATI menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
“Secara keseluruhan, KDN berjaya mengutip lebih RM150 juta daripada kutipan hasil bagi kedua-dua program berkenaan,” katanya.