Agong bersama Permaisuri lawat Britain buat kali kedua

Agong, Permaisuri lawat Britain buat kali kedua

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd. Nor Abdullah yang telah kembali ke Rahmatullah pada 24 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mengadakan lawatan khas ke beberapa tempat di Britain bermula hari ini sehingga 27 September depan.

Ini merupakan lawatan kedua Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas kali pertama dibuat pada akhir 2019 lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Seri Paduka Baginda berdua bakal melawat Stesen Janakuasa Battersea, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di ibu kota London.

Ia merupakan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Berhad sejak 2012 yang berkeluasan 15.6 hektar.

Mereka berdua juga berkenan melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London bagi bertemu rakyat negara ini yang terdiri kalangan usahawan, ahli akademik, pelajar dan ketua komuniti.

Lawatan tersebut turut meliputi ke Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak, milik penuh Lembaga Getah Malaysia, sebuah institusi kajian dan pembangunan getah terkemuka dunia di Hertford.

Seri Paduka Baginda juga berkenan menerima kunjungan Ketua Staf Pertahanan Britain, Sir Jeneral Nicholas Carter bagi menyentuh hubungan kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

Secara keseluruhan ujar Wisma Putra, lawatan khas itu turut melambangkan kepentingan erat antara Malaysia dan Britain yang dimanifestasikan di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

Selain itu, ia menzahirkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia di Britain agar sentiasa berada dalam keadaan baik terutama era pandemik.

Ketika lawatan sulung hampir dua tahun lalu, Al-Sultan Abdullah pernah berangkat ke majlis santapan tengah hari dihoskan sendiri pemerintahnya, Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham.

Seri Paduka Baginda yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019 lalu, pernah menimba ilmu ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst dari 1978 hingga 1979. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya