PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk Mesyuarat Pra-Kabinet menerusi sidang video di Istana Negara pada pagi ini.
Facebook Istana Negara memaklumkan sesi yang berlangsung selama 30 minit dan bermula pukul 8.30 pagi adalah yang pertama kali bagi Ismail Sabri sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.
Pada 20 Ogos lalu, Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mengantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.