PETALING JAYA: Seramai 8,077 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun ini di 201 pusat peperiksaan di seluruh negara yang dilaksanakan pada 21, 22 dan 23 September ini.
Perkara itu dimaklumkan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataannya hari ini.
Menurut kenyataan itu, seramai 1,568 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPMU tahun 2021.
Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon merujuk jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP di http://lp.moe.gov.my dan calon diingatkan supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah terkini dikeluarkan oleh KPM.
“Patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan dan pencegahan penularan wabak COVID-19,” kata kenyataan itu.
Garis panduan tersebut boleh dimuat turun dari portal rasmi KPM di https://www.moe.gov.my – UTUSAN ONLINE