80 peratus pelajar Unimap lengkap vaksin menjelang akhir bulan ini - Utusan Malaysia

80 peratus pelajar Unimap lengkap vaksin menjelang akhir bulan ini

ZALIMAN SAULI (dua dari kiri) bersama Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd Yusof (dua dari kanan) melawat PPV Unimap Kubang Gajah, Arau, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menjangkakan lebih 80 peratus daripada keseluruhan 12,000 penuntut universiti tersebut lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang akhir bulan ini.

Perkembangan positif tersebut sebagai salah satu persediaan menerima kembali kehadiran pelajar apabila gelembung kampus diwujudkan mulai Oktober ini.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli memberitahu, setakat ini, lebih 40 peratus penuntut sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Jelasnya, kakitangan Unimap yang menerima suntikan vaksin pula sudah mencapai 92 peratus.

“Insya-Allah para pelajar kita akan lengkap sepenuhnya menerima suntikan vaksin sebelum kembali ke kampus dalam tempoh terdekat ini. Pertengahan Oktober nanti, pelajar akan kembali belajar bersemuka selain meneruskan pembelajaran secara dalam talian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan,  institusi pengajian tinggi (IPT) bakal menerima kembali kehadiran penuntut apabila gelembung kampus diwujudkan mulai Oktober ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad dilaporkan berkata, mekanisme lanjut dimaklumkan pada waktu terdekat dengan mengambil kira kadar vaksinasi mahasiswa serta seluruh warga universiti.

Akhbar ini, sebelum ini melaporkan persetujuan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pasukan Petugas Khas Covid-19 Kebangsaan (CITF) dalam memberikan vaksin kepada seluruh warga IPT Oktober ini.

Pelan Pemulihan Institut Pengajian Tinggi (PEMULIH IPT) tersebut sedang dirangka dengan mengambil kira vaksinasi warga IPT sebagai usaha mengekang penularan kes ketika pembukaan nanti.

Sementara itu, Zaliman berkata, kebolehpasaran kerja dalam kalangan graduan Unimap hampir 90 peratus meskipun dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Boleh dikatakan mereka bekerja selepas tamat belajar sama ada di industri-industri atau pun pelbagai kerja lain termasuk bergelar usahawan. Pandemik Covid-19, tidak menjejaskan peluang kerja pelajar ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya