5.8 juta pengundi 18 tahun ke atas boleh semak, sah daftar automatik - Utusan Malaysia

5.8 juta pengundi 18 tahun ke atas boleh semak, sah daftar automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 5.8 juta pemilih berumur 18 tahun dan ke atas boleh melakukan semakan dan pengesahan diri sebagai pengundi secara automatik bermula Jumaat ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, proses Semakan Pra-Pendaftaran Pemilik Automatik (SPPA) itu berlangsung sehingga 31 Oktober.

“Bagi tujuan ini, SPR akan mempamerkan maklumat bagi pemilih dan beri peluang kepada mereka semak dan mengesahkan rekod,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Urusan tersebut ujar beliau boleh dibuat melalui kaedah sama ada dengan menggunakan terus aplikasi MySPR SPPA menerusi pautan laman rasmi https://mysprsppa.spr.gov.my.

Pemilih juga boleh hadir ke 604 tempat semakan di seluruh negara dan mengimbas kod respons pantas atau QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang akan diletakkan terus di situ.

Dalam tempoh itu katanya, warganegara Malaysia berusia lebih 18 tahun boleh menyemak, mengesahkan maklumat dan membuat aduan kepada SPR sebelum didaftarkan automatik.

“Sekiranya tidak tinggal di alamat yang dipaparkan, bakal pemilih dinasihatkan mengemas kini alamat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum 31 Oktober,” katanya.

Ikmalrudin namun menambah, jika ada sebarang pertanyaan, mereka boleh menghubungi pejabat SPR negeri atau hotline SPR iaitu 03-88927018 atau layari portal www.spr.gov.my.

Langkah agensi bebas itu memperkenalkan SPPA antara sebahagian inisiatif pendaftaran automatik termasuk kalangan pengundi berumur 18 tahun ke atas menjelang 31 Disember.

Persiapan juga turut melibatkan pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang yang berkaitan pelaksanaan had usia minimum tersebut.

Usaha itu selaras dengan keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak pada 3 September lalu dalam isu Undi18 yang telah diluluskan kerajaan terdahulu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya