SIK: Seramai 30 mangsa daripada tujuh keluarga di dua kampung di Mukim Sok di sini dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka Sekolah Kebangsaan Gulau di sini selepas dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat, semalam.
Dua kampung tersebut iaitu Kampung Landai dan Kampung Melaka dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga satu meter selepas air sungai melimpah hujan lebat bermula pukul 4.30 petang.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd. Napiah berkata, seramai 11 orang daripada dua keluarga dari Kampung Landai turut terperangkap selepas paras air banjir di kampung itu meningkat secara mendadak dan mengalir deras kira-kira pukul 9.30 malam.
Katanya, dalam kejadian itu, sebahagian dinding salah sebuah rumah mangsa terlibat runtuh dalam kejadian banjir tersebut.
“Anggota APM terpaksa menggunakan bot untuk menyelamat dan membawa mangsa ke tempat yang selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kejadian banjir turut berlaku di Kampung Kura, Mukim Jeneri yang melibatkan sebuah keluarga.
“Saya mengharapkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sering dilanda banjir terutamanya berdekatan dengan sungai supaya sentiasa berwaspada dan bersiap siaga menghadapi banjir berikutan hujan lebat sering berlaku semasa Monsun Timur Laut yang bermula pada September ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE